KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
BERNAS Prihatin Keperluan Nutrisi Murid
Hampir 4 juta hidangan tengah hari telah disediakan bantu atasi masalah malnutrisi di kalangan murid sekolah rendah terpilih sejak 2022
24 Oktober, ALOR SETAR – Pemakanan seimbang adalah sangat penting bagi pembesaran fizikal dan minda kanak-kanak sekolah dan amalan ini perlu diterapkan sejak awal lagi. Berbekalkan kesedaran ini, BERNAS mengambil langkah untuk memberi bantuan dalam bentuk tajaan makan tengah hari yang seimbang kepada murid-murid sekolah rendah dari kumpulan masyarakat yang kurang berkemampuan menerusi Program Makanan Kesihatan (PROMAK) sejak Januari 2022.
Memandangkan kanak-kanak di peringkat usia awal berada dalam fasa pertumbuhan yang kritikal dan mereka banyak menghabiskan masa mereka di sekolah, maka program pemakanan di sekolah ini dilihat sebagai inisiatif yang terbaik untuk memastikan mereka mendapat makanan yang seimbang bagi memenuhi semua keperluan nutrisi. Pemakanan yang betul untuk kumpulan ini adalah penting untuk kesejahteraan mereka masa kini dan di masa hadapan.
PROMAK merupakan satu program kerjasama strategik di antara sektor korporat dan agensi Kerajaan di mana BERNAS bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menggerakkan agenda nasional dalam menangani isu malnutrisi di kalangan murid sekolah rendah di negara ini.
Melalui usaha bersepadu PROMAK, sehingga kini, hampir 20,000 murid sekolah rendah dari 93 sekolah di empat negeri terpilih iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu telah menerima manfaat dari program ini dan hampir 4 juta hidangan tengah hari telah dapat dinikmati oleh murid-murid dari sekolah-sekolah yang terlibat. BERNAS turut berganding bahu dengan para guru dan pengusaha kantin bagi memastikan matlamat PROMAK berjaya dicapai.
Keberkesanan program ini turut dipantau dan dinilai dari pelbagai petunjuk seperti ketinggian dan berat murid serta prestasi kehadiran mereka ke sekolah. Sepanjang tempoh setahun pelaksanaan PROMAK, data yang dikumpul dari Malaysian National Physical Fitness Standard (SEGAK) untuk pelajar sekolah yang terlibat dengan PROMAK memperlihatkan impak positif ke atas berat, ketinggian dan kehadiran murid sejak program diperkenalkan.
Selain tertumpu kepada aspek kesihatan, pendidikan dan pembangunan sosial kanak-kanak, PROMAK turut membantu mengurangkan perbelanjaan makanan isi rumah dan meningkatkan pendapatan boleh guna khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.
Setelah setahun dilaksanakan dengan jayanya, PROMAK kini telah dilancarkan secara rasmi oleh YB Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia. Di majlis yang sama, BERNAS juga telah menganjurkan Program PROMAK Riang Ria Nutri, iaitu satu pendekatan didik hibur yang menerapkan pelbagai elemen pembelajaran interaktif dan hiburan yang menyeronokkan mengenai kepentingan nutrisi dan amalan pemakanan seimbang.
Program yang julung kalinya dianjurkan ini merupakan satu inisiatif tambah nilai di bawah PROMAK. Umum ketahui bahawa kekurangan zat makanan menjejaskan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak serta dikaitkan juga dengan impak negatif lain seperti gangguan fungsi kognitif, peningkatan kadar ketidakhadiran sekolah dan prestasi pelajaran yang lemah (UNICEF, 2019).
Justeru, selain menawarkan bantuan makanan seimbang, BERNAS turut berusaha membentuk satu platform bimbingan secara berterusan sebagai inisiatif ke arah “sustainable healthy living” di mana kanak-kanak didedahkan dengan ilmu dan kesedaran berhubung kepentingan nutrisi makanan dan amalan pemakanan yang baik.
Program sehari ini telah memberi peluang kepada BERNAS untuk menyantuni seramai 500 orang murid dari 24 buah sekolah di negeri Kedah di samping memberi pendedahan tentang pemakanan sihat. Untuk rekod, di negeri Kedah sahaja, PROMAK telah mula ditawarkan di 45 buah membabitkan 10,336 murid dari pelbagai daerah.
“PROMAK bertujuan memupuk budaya pemakanan sihat dari usia awal. Akses kepada makanan yang seimbang dan bernutrisi lengkap di sekolah akan membentuk perkembangan fizikal, mental dan psikologi kanak-kanak yang seterusnya akan membantu mereka lebih bersedia untuk pembelajaran,” ujar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi BERNAS.
“Sebagai organisasi korporat yang mengutamakan keselamatan makanan dan mementingkan kesejahteraan sosial, BERNAS akan terus mempergiat inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke arah merealisasikan agenda pembangunan masyarakat secara amnya serta melahirkan generasi pelapis yang cemerlang” tambah beliau lagi.
Dalam masa yang sama, menerusi PROMAK, BERNAS turut menyokong hasrat Kerajaan dalam memastikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, di bawah Matlamat 2.2 (menamatkan semua bentuk malnutrisi) tercapai.
About BERNAS
BERNAS was established in 1994 when it took over the role of Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) as the custodian of Malaysian paddy and rice after LPN was corporatized. For more than three decades, BERNAS has been a key player in Malaysia's paddy and rice industry and is recognized as a reliable partner for food security and sustainability.
Our longstanding slogan, "Nourishing the Nation," reflects our values and commitment to providing the best products and services to our country. We embrace our shared core values of Integrity, Customer Focus, and Teamwork, and strive to fulfil our obligations with full dedication, while also balancing the requirements of all stakeholders and upholding the highest standards of quality across our supply
chain.