KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS SOKONG INISIATIF KERAJAAN TANGANI KOS SARA HIDUP
Pelarasan Harga Beras Putih Import Bukti Komitmen BERNAS Mendokong Agenda Kerterjaminan Makanan 

 

Shah Alam, 20 Mac – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyambut baik keputusan Kerajaan untuk melaksanakan pelarasan harga beras putih dan memuji langkah proaktif Kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup rakyat Malaysia.  

Selaras dengan pengumuman oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu semalam, BERNAS mulai hari ini telah melaksanakan pelarasan harga jualan Beras Putih Import (BPI) di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik untuk memastikan berlakunya penurunan harga jualan BPI di antara RM2 hingga RM3 bagi setiap kampit 10 kilogram di peringkat runcit.    

Ia membuktikan komitmen BERNAS dalam menjamin ketersediaan produk walaupun trend harga Beras Putih Import (BPI) masih berlegar di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas. 

BERNAS bergerak seiring dengan pengumuman Kerajaan dan kekal berdedikasi dalam memastikan bekalan beras yang mencukupi dan stabil untuk isi rumah di seluruh negara serta turut memuji langkah intervensi Kerajaan dalam meningkatkan pengedaran beras putih tempatan.  

BERNAS mengulangi pendiriannya untuk terus meyokong dan mendokong agenda keterjaminan makanan serta bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pemain industri. Syarikat mengulangi komitmennya terhadap pelan jangka panjang KPKM, mengutamakan kebajikan pesawah dan mengekalkan kelestarian rantaian bekalan beras di dalam negara. 

Kekal fokus dalam memenuhi obligasi sosialnya, BERNAS mengurus stok penimbal dan beroperasi sebagai pembeli beras terakhir daripada pesawah dengan mengutamakan kepentingan negara walaupun berdepan dengan keadaan pasaran global yang tidak menentu.


Mengenai BERNAS

BERNAS ditubuhkan pada 1994 dan mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara. Selama lebih tiga dekad, BERNAS telah menjadi pemain utama di dalam industri padi dan beras negara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan dan keterjaminan makanan.

Slogan "Kesejahteraan Untuk Semua," mencerminkan nilai dan komitmen kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan berusaha untuk memenuhi kewajipan dengan penuh dedikasi serta mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian kualiti tertinggi merentasi rantaian bekalan kami.



PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.