KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS Perkasa Inisiatif Pertanian Lestari bersama USM
Burung Pungguk Jelapang Sebagai Agen Kawalan Biologi Di Sawah Padi

Paya Keladi, 13 Mei 2025 – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian industri padi negara menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dalam projek “Memacu Pertanian Lestari” yang dilancarkan hari ini di Pusat Penang 2030, Paya Keladi.

Inisiatif ini memperkenalkan penggunaan burung pungguk jelapang (Tyto alba javanica) sebagai agen kawalan biologi semula jadi bagi mengatasi masalah tikus sawah - antara ancaman utama kepada hasil padi petani kecil di Malaysia. Projek kerjasama bersama USM melalui Barn Owl and Rodent Research Group (BORG), Pusat Pengajian Sains Kajihayat ini ditaja sepenuhnya oleh GlobalGiving, organisasi antarabangsa yang menyokong pembangunan mampan di seluruh dunia.

Menurut Dr. Hasber Salim, Ketua Penyelidik dan Penyelaras BORG, “Projek ini merupakan bukti bagaimana pendekatan berasaskan ekologi boleh menggantikan penggunaan racun tikus yang toksik dan berisiko tinggi kepada manusia, haiwan liar dan alam sekitar. Kami amat berterima kasih kepada GlobalGiving atas kepercayaan dan sokongan dana yang telah diberikan sepenuhnya kepada projek ini.”

Beliau berkata projek ini memfokuskan kepada kawasan jelapang padi khususnya membantu golongan petani B40 ke arah amalan pertanian yang lebih mesra alam dan mampan.

BERNAS memainkan peranan penting dalam pelaksanaan lapangan, termasuk logistik, pengagihan 20 unit kotak sarang burung pungguk kepada pesawah terpilih dan pengurusan kempen kesedaran komuniti.

“Kami komited menyokong usaha inovatif ini kerana ia seiring dengan peranan BERNAS sebagai pemegang taruh utama industri beras negara. Selain membantu petani mengurangkan kos dan risiko penggunaan racun kimia, inisiatif ini juga menyumbang ke arah ekosistem pertanian yang lebih lestari dan berdaya saing,” ujar Mohd Zakri Bin Zulkafli, Ketua Jabatan Pengurusan Ladang.

Tambah beliau, program rintis ini berpotensi menjadi model alternatif kawalan perosak sawah padi yang mesra alam dan selamat, selaras dengan agenda BERNAS dalam memastikan kelangsungan industri beras negara serta kesejahteraan pesawah tempatan.

Majlis pelancaran hari ini turut disertai oleh USains, agensi kerajaan, akademik, petani tempatan dan rakan industri - simbol sokongan padu terhadap usaha bersama memacu pertanian lestari dan meningkatkan kesejahteraan komuniti pesawah.


Mengenai BERNAS

BERNAS ditubuhkan pada 1994 dan mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara. Selama lebih tiga dekad, BERNAS telah menjadi pemain utama di dalam industri padi dan beras negara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan dan keterjaminan makanan.

Slogan "Kesejahteraan Untuk Semua," mencerminkan nilai dan komitmen kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan berusaha untuk memenuhi kewajipan dengan penuh dedikasi serta mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian kualiti tertinggi merentasi rantaian bekalan kami.

 

PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.