KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS Perkukuh Komitmen Keterjaminan Makanan Negara Dengan Pelarasan Harga Beras Putih Import

SHAH ALAM, 15 MEI – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) hari ini memperkukuhkan peranannya sebagai rakan strategik keterjaminan makanan negara menerusi pelaksanaan pelarasan harga Beras Putih Import (BPI), selaras dengan pengumuman oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
 
Bermula hari ini, 15 Mei 2025, harga BPI di semua pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan. Walau bagaimanapun, program subsidi BPI Kerajaan bagi negeri Sabah dan Sarawak masih diteruskan seperti biasa.  

Dalam satu kenyataan, BERNAS berkata langkah proaktif ini mencerminkan komitmen berterusan BERNAS dalam menyokong usaha Kerajaan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara serta mengurangkan impak kenaikan harga pasaran global. Ia secara langsung membolehkan pengguna untuk mendapatkan bekalan beras import pada harga yang lebih rendah dan sekaligus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.  
BERNAS, pada 1 Disember 2024 telah menguatkuasakan pelarasan harga BPI di pintu gudangnya di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan. Malaysia masih kekal menawarkan harga BPI terendah di rantau Asia Tenggara.  

BERNAS memberi jaminan bahawa bekalan di negara ini adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna. BERNAS menjelaskan bahawa beras putih juga diimport daripada negara lain seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar. Pendekatan ini dibuat bagi memastikan bekalan beras negara adalah terjamin, tanpa perlu bergantung kepada satu sumber dan dalam masa yang sama melindungi stok penimbal negara. 

Sebagai pelaksana Perjanjian Konsesi dengan Kerajaan Malaysia, BERNAS komited dalam melaksanakan tanggungjawabnya mengurus stokpail secara mampan dan memastikan ketersediaan bekalan beras di dalam negara. 

Selain itu, BERNAS turut menjalankan tanggungjawab sosialnya terhadap komuniti pesawah. Susulan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu, BERNAS telah menyalurkan Peruntukan Bantuan Khas Pesawah berjumlah RM90 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), selaras dengan komitmen Syarikat menyokong usaha kerajaan MADANI membela kebajikan pesawah miskin.  

Peruntukan khas fasa pertama sebanyak RM60 juta disalurkan secara berperingkat kepada KPKM dan pembayaran terakhir sebanyak RM15 juta selesai sepenuhnya pada 5 Mac 2025. 
Peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta juga sudah selesai disalurkan kepada kerajaan pada 28 Mac 2025. Peruntukan khas itu merupakan wang ihsan syarikat BERNAS dan bukannya dana awam.  

BERNAS akan terus bekerjasama rapat dengan KPKM serta pemain-pemain industri, 
sekaligus mengukuhkan dedikasinya terhadap matlamat keterjaminan makanan negara. Syarikat ini kekal komited terhadap pelan tindakan jangka panjang kementerian berkenaan, dengan mengutamakan kebajikan pesawah dan menjamin kemampanan bekalan beras 
negara. 


Mengenai BERNAS

BERNAS ditubuhkan pada 1994 dan mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) untuk mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara. Selama lebih tiga dekad, BERNAS telah menjadi pemain utama di dalam industri padi dan beras negara dan diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai untuk keselamatan dan keterjaminan makanan.

Slogan "Kesejahteraan Untuk Semua," mencerminkan nilai dan komitmen kami untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada negara dan berusaha untuk memenuhi kewajipan dengan penuh dedikasi serta mengimbangi keperluan semua pihak berkepentingan dalam meningkatkan piawaian kualiti tertinggi merentasi rantaian bekalan kami.

 

PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.