KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS Perluas SMART SBB di Kota Belud, Sabah
40 pesawah tempatan tekad membangunkan kawasan penanaman padi mereka
 

Kota Belud, Sabah (12 Jun 2022): Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi berkaitan optimis dalam memperluaskan lagi kawasan SMART SBB di seluruh Malaysia. SMART SBB yang mula diperkenalkan dari awal tahun 2021 merupakan salah satu inisiatif MAFI dalam meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 atau sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) amat komited dalam mengukuhkan hala tuju strategik bagi membangunkan SMART SBB, selari dengan aspirasi MAFI dalam mengukuhkan kelestarian industri. Antara matlamat utama SMART SBB BERNAS adalah untuk membina sistem pertanian dan jaringan pesawah yang lebih dinamik. Ini sekaligus dapat membantu pesawah di dalam meningkatkan pendapatan mereka melalui peningkatan hasil padi yang berkualiti.

Sebagai syarikat peneraju tunggal dalam membangunkan SMART SBB di negeri Sabah, BERNAS kini melebarkan keluasan hektar di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud dengan penglibatan seramai 40 pesawah tempatan.

Pesawah di kawasan ini telah didedahkan kepada pelbagai latihan pertanian bagi memperkasakan lagi pengetahuan serta kemahiran mereka. Ini termasuklah pengamalan teknologi terkini seperti dron dan jentera yang bersesuaian dalam pengurusan tanaman padi serta Jadual Kerja Ladang yang merupakan kaedah amalan pertanian tepat.

SMART SBB di Kota Belud merupakan program kolaborasi di antara BERNAS, Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah serta agensi kerajaan lain seperti Kawasan Pertanian Pembangunan Bersepadu (IADA) Kota Belud, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pertubuhan Peladang Kawasan, Jabatan Pertanian Sabah dan lain-lain.

Rajumin Jamrin yang merupakan Ketua Blok Skim Jawi-Jawi Kota Belud menyifatkan program ini memberi pelbagai manfaat kepada mereka.

“Melalui program ini, ianya membantu kami untuk mengusahakan sawah secara berpasukan dan lebih sistematik. Selain itu, BERNAS turut membimbing kami dalam penetapan Jadual Kerja Ladang yang lebih teratur yang mampu mengurangkan risiko kepada tanaman serta mengelakkan pembaziran input pertanian. Ini sekaligus dapat membantu kami dalam meningkatkan hasil padi serta pendapatan kami,” kata Rajumin.

Rajumin dan pesawah lain juga menyatakan perasaan teruja mereka terhadap penggunaan teknologi dron yang digunakan bagi kawasan ini.

“Penggunaan teknologi dron memberi hasil semburan baja dan racun yang lebih sekata meliputi seluruh kawasan ladang dalam tempoh masa yang jauh lebih singkat, mengurangkan penggunaan tenaga dan mengoptimakan input serta kos.”

“Ini semestinya memudahkan urusan kami dalam pengurusan ladang dan memberi kami masa terluang untuk melakukan kerja-kerja harian lain,” akhiri beliau.

Majlis perasmian SMART SBB BERNAS di Skim Jawi-Jawi Kota Belud Sabah telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri MAFI bersama Datuk Dr Mariana Tinggal, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah; Encik Azman Mahmood, Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras MAFI; Encik Abdul Rahman Mohd Nasri, Ketua Bahagian Pengurusan Konsesi dan Aktiviti Huluan BERNAS; Puan Norfaine Sameun, Pengarah IADA Kota Belud dan lain-lain lagi.


PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.