KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

Kestabilan Harga Pasaran dan Harga Borong Beras Negara Terpelihara

Kami merujuk kepada liputan berita yang bertajuk “Pengilang, peruncit beras tertekan dengan kenaikan harga borong, kata MTEM” pada 19 April 2020 (Ahad). Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ingin memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Ingin dinyatakan bahawa BERNAS akan terus memelihara kestabilan harga serta memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi, terutamanya ketika negara berdepan dengan penularan wabak coronavirus, COVID-19.

Wabak COVID-19 telah menyebabkan beberapa negara mengalami kenaikan harga makanan asas seperti beras, dan ini sekaligus menimbulkan kebimbangan bekalan sukar diperolehi di kalangan sesetengah masyarakat Malaysia. Seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MOA) serta kementerian-kementerian lain yang berkaitan, keadaan keselamatan dan bekalan makanan negara adalah terkawal. Bekalan beras yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia mudah diperolehi dan harga beras di pasaran runcit masih kekal sebagaimana sebelum penularan wabak COVID-19.

Untuk makluman, harga jualan BERNAS kepada pemborong adalah kekal dan tidak berubah untuk beras putih tempatan dan beras import sejak beberapa tahun yang lepas. Walaupun harga beras di pasaran dunia telah meningkat berikutan wabak COVID-19, BERNAS tetap terus komited untuk memantau serta memastikan harga pasaran beras kekal stabil serta berpatutan. Sebarang lebihan harga kos atau operasi akan dibiayai oleh BERNAS sendiri.

Ingin diperjelaskan di sini bahawa kenyataan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengenai BERNAS diberikan subsidi dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) memonopoli beras import adalah sangat tidak berasas.

Sehingga hari ini, BERNAS terus melestarikan tanggungjawabnya kepada rakyat dalam mengawasi perkembangan industri padi dan beras serta menjalankan obligasi sosial negara antaranya dalam sektor pengimportan beras, pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani, menguruskan Skim Pengilangan Padi Bumiputera, membeli padi daripada petani pada harga terjamin dan bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani (Buyer of Last Resort). BERNAS juga akan terus bekerjasama dengan MOA dalam memastikan kelangsungan industri.


PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.