KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

Jualan Beras April Meningkat Di Sabah

Merujuk kepada kenyataan akhbar yang bertajuk “BERNAS DIGESA TIDAK CATU BEKALAN BERAS DI SABAH” pada 22 April 2020 (Rabu), Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ingin memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Adalah menjadi tanggungjawab utama BERNAS bagi memastikan bekalan beras negara mencukupi terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dijalankan.

Untuk makluman, BERNAS telah merekodkan jumlah pertambahan jualan beras sebanyak hampir 10% pada 3 bulan pertama (Januari sehingga Mac) tahun ini berbanding tahun lepas.

Pada bulan April 2020, rekod yang diperolehi setakat ini menunjukkan jualan beras naik mendadak iaitu sebanyak 40% lebih tinggi daripada purata jualan biasa di negeri Sabah.

Selain itu, terdapat penambahan sebanyak 27% pemborong beras yang tidak mempunyai rekod pembelian sebelum ini telah mula membuat pembelian beras dengan BERNAS.

Manakala, sekitar 61% pemborong di negeri Sabah telah membuat pembelian beras lebih daripada jumlah belian yang biasa dilakukan.

Daripada peratusan tersebut, sebanyak 37 pemborong telah membuat belian melebihi 100% daripada jumlah belian biasa.

Keadaan yang luar biasa ini mendorong BERNAS untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengawal jualan kepada pemborong-pemborong tertentu bagi mengelakkan berlakunya sorokan beras (hoarding) oleh pihak-pihak yang berkaitan.

Sekaligus, ianya dapat menghalang kemungkinan beras yang dibekalkan untuk pasaran Sabah dibawa ke negara luar seperti Indonesia dan Filipina, mengambil kira faktor harga beras di Malaysia adalah yang terendah di rantau Asia Tenggara.

Pemantauan bersama pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) akan terus dijalankan bagi memastikan agar rantaian bekalan makanan utama negara ini terus terkawal, khususnya di Sabah.


PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.