KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS Komited Tambah Luas Tanggungjawab Sosial
Objektif industri padi dan beras terus dipelihara

Shah Alam, 3 Disember 2020 – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kerajaan atas keyakinan dan kepercayaan terhadap keupayaan serta prestasi Syarikat sehingga kini.

Selaras dengan slogan ‘Kesejahteraan untuk Semua’, BERNAS terus komited dalam memenuhi mandat yang diberi dan akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan jaminan keselamatan bekalan makanan negara terus dipelihara, dan pada masa yang sama, merealisasikan perancangan Kementerian untuk memperkasa industri padi dan beras tempatan.

Menurut Pengerusi BERNAS, Yang Berhormat Dato Sri Rohani Abdul Karim, adalah menjadi keutamaan BERNAS untuk memastikan tanggungjawab sosial dan peranan komersil diimbangi sebaik mungkin.

Dalam perjanjian konsesi pada kali ini, di samping mengekalkan tanggungjawab sosial yang sedia ada, Kerajaan telah menambah beberapa tanggungjawab baharu untuk dilaksanakan oleh BERNAS. Penambahan ini lebih menjurus kepada pemerkasaan sektor pengeluaran padi dan beras tempatan. BERNAS bukan sekadar menyambut baik tetapi komited untuk melaksanakan tanggungjawab baharu ini tanpa berkompromi dengan tanggungjawab sosial yang sedia ada.
Pemerkasaan sektor pengeluaran padi dan beras tempatan bukan sahaja penting dalam menjamin pendapatan pesawah, tetapi ia menjadi pemangkin kepada usaha menjamin keselamatan makanan negara sekaligus menjamin kepentingan rakyat sebagai pengguna.

Oleh yang demikian, kini, dengan termerainya perjanjian ini, Pengarah Urusan BERNAS, Encik Ismail Mohamed Yusoff tekad untuk meningkatkan fokus ke arah memacu kecekapan operasi dan meningkatkan kualiti serta tahap perkhidmatan BERNAS. Ini bertujuan memastikan kesemua tanggungjawab sosial yang telah dimandatkan dapat dilaksanakan dengan sempurna, mampan dan berteraskan kepada amalan tadbir urus korporat yang baik.

“Dalam sebuah kerajaan yang meletakkan jaminan keselamatan beras sinonim dengan jaminan keselamatan makanan negara, adalah menjadi komitmen utama BERNAS bagi memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi pada harga yang stabil dan berpatutan.”

“Alhamdulillah, sehingga kini, BERNAS telah melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin buat rakyat dan negara dan akan terus berusaha memberikan yang terbaik terutamanya dalam menghadapi situasi yang amat mencabar seperti pandemik Covid-19 ini, InsyaAllah,” akhiri beliau.

Sekiranya terdapat sebarang perkembangan lanjut berhubung perkara ini, BERNAS akan memaklumkan kepada rakan-rakan media dari semasa ke semasa.


PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.