KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS Perkenal 10 Jenis Bubur Lambuk Antarabangsa
Lebih 5,000 bubur lambuk pelbagai resipi antarabangsa diagihkan di Pasar Seni, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 24 Mei 2019 – Bersempena sambutan bulan Ramadan tahun ini, Padiberas Nasional (BERNAS) bersama Pasar Seni Kuala Lumpur telah mengagihkan lebih 5,000 bekas bubur lambuk dari pelbagai resipi antarabangsa kepada orang ramai. Lokasi pengagihan di kawasan Pasar Seni dipilih kerana kedudukannya sebagai hub pengangkutan awam seperti LRT, komuter, dan bas yang menjadi tumpuan warga Kuala Lumpur serta pelancong dari dalam dan luar negara.

Bubur lambuk yang memang cukup sinonim dan popular sebagai juadah berbuka puasa oleh rakyat Malaysia amat sesuai dihidangkan bagi keselesaan perut yang kosong setelah berpuasa hampir 12 jam. Selain mengandungi karbohidrat yang cukup, bubur lambuk yang berasaskan beras ini turut digemari kerana membantu memberi tenaga kepada orang yang berpuasa seharian.

Tambah menarik, aktiviti di bawah program Tanggung jawab Sosial Korporat BERNAS yang dikenali sebagai IKHLAS ini, tampil berbeza apabila 10 periuk bubur lambuk yang dimasak oleh lebih 30 warga kerja BERNAS dan Pasar Seni menggunakan pelbagai jenis beras yang berada dipasaran.

Menyedari lebih ramai rakyat Malaysia kini giat menjalani hidup cara permakanan yang sihat, 10 jenis bubur lambuk antarabangsa yang diagihkan ini dimasak dengan menggunakan pelbagai variati beras yang tinggi khasiat serta sihat seperti beras merah, beras perang, beras hitam dan lain-lain lagi, sesuai dengan gaya hidup warga ibukota.

10 resipi bubur lambuk antarabangsa

Antara bubur lambuk yang diagihkan adalah Bubur Lambuk BERNAS, yang menggunakan beras perang yang kaya dengan serat dan antioksidan. Selain itu, BERNAS turut menyediakan Bubur Siam atau Juk dari Negara Thai yang menggabungkan beras merah dan putih tempatan, beras merah adalah sejenis beras yang mengandungi vitamin B dan E, selain memiliki banyak khasiat yang tingi untuk kesihatan tubuh serta dikatakan baik untuk mengatasi masalah stress.

Selain itu, BERNAS juga mengagihkan Bubur Nombu Kanji dari India (beras wangi import dari Taiwan dan beras putih tempatan), Bubur Barobba Cara Bugis, Indonesia (beras wangi import dari Australia), Bubur Lambuk Masjid Singapura (beras basmati) serta Bubur Chao Ga Vietnam (beras pulut dan beras putih tempatan), Bubur Dakjuk Korea Selatan (beras hitam dan beras putih tempatan), Bubur Okayu Jepun (beras Calrose dan beras putih tempatan), Bubur Congee Ayam dan Halia dari China (beras wangi import) dan bubur Khmer Bor Bor mengunakan beras Kemboja Phkarkhnei, yang amat popular sebagai makanan jalanan di negara Kemboja.

BERNAS juga mempamerkan pelbagai variati beras serta kebaikannya kepada pengunjung di Pasar Seni.

BERNAS selaku penjaga industri beras negara meletakkan harapan agar program IKHLAS yang memperkenalkan 10 jenis bubur lambuk antarabangsa seperti ini, dapat memberi pengetahuan yang lebih mendalam kepada orang ramai mengenai jenis-jenis beras berkhasiat yang sesuai untuk amalan permakanan diet seimbang.


PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.