KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS Komited Teruskan Peranan Dalam Industri Padi dan Beras

Setelah lebih dua dekad menggalas tanggungjawab membangunkan industri padi dan beras negara, syarikat Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) komited untuk meneruskan peranannya sebagai ‘gatekeeper’ tunggal kepada industri ini.

Di dalam satu kenyataan semalam, BERNAS, yang akan menyambut ulang tahun ke-25 pada 7 Julai ini, berkata syarikat tersebut akan meneruskan komitmennya dalam memastikan jaminan bekalan beras negara sentiasa mencukupi.

"Semenjak diswastakan pada Januari 1996, BERNAS telah mengambil alih sepenuhnya tugas sosial dan komersial yang selama ini dipikul oleh Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dengan kerajaan kekal mengawal hal-hal yang melibatkan polisi dan penguatkuasaan undang-undang," kata syarikat tersebut.

BERNAS turut menjelaskan bahawa ia akan terus melaksanakan tugas-tugas di peringkat ‘post-harvest’ untuk menjaga kepentingan petani dan bekerjasama dengan agensi-agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Antaranya adalah Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta agensi-agensi lain bagi membantu industri mencapai aspirasi kerajaan.

LPN adalah sebuah entiti kerajaan yang ditubuhkan pada 1971 bagi mengawal selia sektor padi dan beras dalam negara. Demi memastikan kelestarian industri padi dan beras, kerajaan, pada 1994, telah mengambil keputusan untuk menubuhkan BERNAS bagi menggantikan peranan LPN.

BERNAS kemudiannya diswastakan dua tahun selepas itu.

"Sejajar dengan Perjanjian Penswastaan yang telah ditandatangani, BERNAS terus melestarikan tanggungjawabnya kepada rakyat dalam mengawasi perkembangan industri.”

“Penswastaan BERNAS dilihat dapat membantu serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam sektor ini dan pada masa yang sama sebagai jalan terbaik bagi meningkatkan tahap kecekapan industri dari sudut komersial,” ujar BERNAS.

Selain menggalas tanggungjawab di dalam sektor pengimportan beras, BERNAS juga turut menjalankan tugas-tugas sosialnya dalam menjaga kebajikan para petani.


PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.