KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS Santuni Golongan Pesawah Perlis
Lebih 80 asnaf pesawah serta 10 masjid terima sumbangan sambutan bulan Ramadan dan Aidilfitri

KUALA PERLIS, 16 April 2022 – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat-nya iaitu IKHLAS Ramadan telah meraikan lebih 150 pesawah, 80 keluarga asnaf, termasuk 40 anak-anak pesawah serta 10 buah masjid di sekitar negeri Perlis. Majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan bersempena menyambut kemuliaan bulan Ramadan dan Aidilfitri ini telah diadakan di Masjid Al-Firdaus, Kampung Padang Besar Selatan Perlis.

IKHLAS Ramadan yang telah dianjurkan sejak tahun 2016 merupakan salah satu inisiatif BERNAS bagi berkongsi kegembiraan serta menceriakan golongan kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim, ibu tunggal dan asnaf. Pada tahun ini, IKHLAS Ramadan memfokuskan kepada golongan pesawah yang menjadi tulang belakang kepada kelangsungan industri padi dan beras negara.

Penerima yang merupakan daripada keluarga pesawah telah menerima sumbangan berbentuk pembelian baju raya kepada anak-anak, serta set barangan keperluan asas seperti beras, biskut raya dan lain-lain lagi. Selain itu, 10 buah masjid di sekitar pusat operasi BERNAS di negeri Perlis juga turut menerima wang insentif bagi mengimarahkan lagi aktiviti yang dijalankan oleh mereka.

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Solhi Mohd Saleh, Ketua Jabatan Operasi Kilang BERNAS. Encik Mohamad Solhi berkata BERNAS amat prihatin kepada kebajikan mereka yang memerlukan khususnya di kalangan warga pesawah dan komuniti tani

“Program seumpama ini kami jalankan pada setiap tahun untuk mengukuhkan jalinan ukhuwah dan mewujudkan semangat ‘kekeluargaan’ bersama masyarakat dan warga pesawah di seluruh kawasan operasi syarikat,” kata Solhi.

“Pada bulan Ramadan tahun ini, BERNAS terus menggiatkan program-program amal dan jariah dengan pelbagai perancangan termasuklah agihan bubur lambuk, beras dan barangan keperluan harian kepada masyarakat asnaf yang memerlukan.”

“Seramai 80 penduduk asnaf dari kalangan kariah Masjid Al-Firdaus telah dipilih untuk menerima sumbangan barangan menerusi zakat wakalah perniagaan BERNAS,” tambah beliau.
Majlis berbuka puasa turut dimeriahkan dengan kehadiran 150 pesawah dari Komuniti Industri Tani BERNAS, atau lebih dikenali sebagai KITA.

“Insya Allah pelbagai inisiatif bersama pesawah telah dirancang, terutamanya melalui program KITA. Penganjuran majlis berbuka puasa pada malam ini menjadi satu platform untuk kami menyatakan penghargaan kepada komuniti tani yang banyak berjasa kepada industri,” akhiri beliau.

Bagi menambahkan keberkatan pada majlis tersebut dan sebagai santapan kerohanian, majlis turut diserikan dengan pelbagai program keagamaan, solat maghrib berjemaah serta jamuan berbuka puasa.


PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.