KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

BERNAS dan KTMB Edar lebih 2,500 Bubur Lambuk
Berkongsi kemeriahan syawal bersama penumpang ETS pulang ke kampung halaman

KUALA LUMPUR, 27 April 2022 – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) buat pertama kali bekerjasama menganjurkan program bubur lambuk. Menarik tahun ini, para penumpang tren elektrik (ETS) yang mula pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri dibekalkan dengan bubur lambuk istimewa sebagai juadah berbuka puasa.

Lebih 2,500 pek bubur lambuk telah mula disediakan seawal jam 8.00 pagi untuk diedarkan kepada penumpang ETS di Stesen Kuala Lumpur dan Stesen Sentral Kuala Lumpur bermula jam 2.40 petang.
Dato' Haris Fadzilah Hassan, Pengarah Urusan Kumpulan BERNAS berkata program penyediaan bubur lambuk BERNAS dan KTMB merupakan kolaborasi pertama di antara dua syarikat ini.

“Buat pertama kali, gabungan kakitangan BERNAS dan KTMB telah berjaya menghasilkan lebih 2,500 pek bubur lambuk yang menggunakan beras putih tempatan dan juga beras wangi. Nikmatilah bubur lambuk istimewa kami ini sebagai juadah berbuka puasa nanti,” kata beliau.

“Apapun dalam kemeriahan pulang ke kampung halaman masing-masing, keselamatan dan kesihatan diri jangan diabaikan. Sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan bagi melindungi diri serta keluarga,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Mohd Rani Hisham Samsudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB berkata “Gotong royong julung kali ini adalah aktiviti istimewa di bulan Ramadan, lebih - lebih lagi diadakan dipersekitaran stesen. Bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim di antara dua organisasi, bahkan dapat berkongsi rezeki dengan penumpang yang sentiasa bersama menyokong kami.”

“Kami mengucapkan selamat hari raya kepada yang meraikan, dan semoga perjalanan anda pulang dan kembali berjalan lancar, insya Allah.,” akhiri beliau.


PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.