KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

Program ‘Menjejak Asnaf 2023’ Bantu Pesawah Asnaf
Dana zakat wakalah BERNAS disalurkan kepada golongan sasar yang tepat

Alor Setar, Kedah; 20 Februari 2023 – Situasi ketidaktentuan ekonomi serta peningkatan kos sara hidup yang kian meruncing telah mendatangkan tekanan serta membebankan ramai pihak, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.

Menyedari hakikat tersebut dan sentiasa prihatin dengan kebajikan golongan pesawah, dana zakat wakalah Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah disalurkan kepada para pesawah asnaf menerusi satu inisiatif khas “Menjejak Asnaf” yang digerakkan oleh kakitangan BERNAS bagi pihak Lembaga Zakat.

Berpegang kepada asas perkongsian rezeki dan bertepatan dengan pengertian pemberian zakat, para pesawah asnaf telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan kotak makanan keperluan harian seperti beras, susu, gula, minyak masak dan lain-lain lagi melalui program ini.
“Dengan cabaran kos dan perbelanjaan isi rumah yang kian meningkat, bantuan seumpama ini diberikan dengan harapan untuk sedikit sebanyak meringankan bebanan golongan pesawah yang terkesan, kata Encik Mohamad Solhi bin Mohd Salleh,” Ketua Jabatan Pengurusan Bekalan dan Skim.

Mohamad Solhi turut menekankan bahawa “Peranan dan pengorbanan pesawah dalam menjana pengeluaran beras negara amat besar. BERNAS dan pesawah merupakan satu komuniti yang saling bergantung dan saling memerlukan. Tanpa mereka, keadaan pastinya lebih sukar untuk memastikan kestabilan sekuriti makanan dalam negara” katanya lagi.

Mengulas lanjut, tambah Mohamad Solhi, “Adalah menjadi tanggungjawab BERNAS untuk terus memelihara dan menyantuni kebajikan para pesawah yang sentiasa menyokong Syarikat. Oleh itu, setiap peluang yang ada akan digunakan sebaik mungkin untuk menyumbang semula kepada para pesawah yang memerlukan.”

Agihan dana zakat wakalah menerusi Program Menjejak Asnaf ini akan tertumpu kepada golongan sasar di sekitar lokasi operasi Kilang Beras BERNAS di seluruh negeri.

Sebagai permulaan, kotak makanan ini akan diedarkan kepada lebih 200 pesawah di sekitar Kilang Beras BERNAS Kangkong iaitu sekitar Kampung Selarong Panjang, Kuala Kangkong, Simpang Empat dan juga di beberapa kawasan Bukit Raya, Bukit Besar dan juga Telok Kechai.

Salah seorang penerima Encik Razali bin Ahmad dari Kampung Selarong Panjang berkata pendapatan dari hasil padi kini tidak menentu disebabkan pelbagai faktor antaranya keadaan cuaca yang sedikit sebanyak memberi kesan terhadap hasil padi.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada BERNAS atas keprihatinan mereka untuk tampil membantu meringankan beban golongan yang terkesan seperti kami. Rezeki ini, insya Allah dapat meringankan perbelanjaan kami sekeluarga terutamanya semasa musim cuti sekolah ketika ini,” kata Encik Razali.

“Sebagai pesawah, saya sudah lama berurusan dengan BERNAS dan Alhamdulillah padi yang kami jual kepada BERNAS ada juga bahagian kami dalam bentuk zakat wakalah,” akhiri beliau.

Kotak makanan ini akan diserahkan kepada para penerima secara berperingkat bermula hari ini, 20 Februari 2023 dan akan diteruskan ke lokasi-lokasi lain dalam tempoh masa terdekat.

BERNAS berharap agar sumbangan seumpama ini akan dapat memberikan impak yang bermakna kepada para pesawah yang memerlukan dan secara tidak langsung membantu meringankan beban mereka. Pada masa yang sama, hubungan baik yang sedia terjalin di antara pesawah dan BERNAS ini akan terus dipupuk dan dipelihara bagi mengukuhkan ikatan ukhuwah dengan sebaiknya.

BERNAS turut berharap agar lebih ramai para pesawah yang dapat disantuni di masa akan datang menerusi pengembalian semula dana zakat wakalah syarikat ini.


PADIBERAS NASIONAL BERHAD 199401009835 (295514-U)
1, Jalan Majistret U1/26, HICOM Glenmarie Industrial Park,
40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.